Friday, March 4, 2011

Wanita: Keistimewaan dan Tanggungjawabnya - النساء: مميزات و مسؤوليتها

الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على سيّد المرسلين و على آله و أصحابه أجمعين.
أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له و أن محمد عبده و رسوله و لا نبي بعده  

Segala puji dan sembah bagi Allah, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas penghulu rasul-rasul, dan juga ke atas ahli keluarga baginda dan sahabat-sahabat baginda sekaliannya. Aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah, tunggal dan tiada sekutu baginya, dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya, dan tiada nabi selepas baginda..

Seperti mana kita maklum, wanita dahulunya(zaman jahiliyyah) adalah sangat teraniaya dan sangat dizalimi. Sehingga datangnya Islam, maqam/martabat wanita telah diangkat di sisi Islam. Sesungguhnya wanita adalah istimewa!!



Sesungguhnya telah ditetapkan tanggungjawab ke atas wanita solehah, yang beriman dengan Allah dan hari akhirat. Perincian tanggungjawab besar wanita terbahagi kepada EMPAT:

1. Zaujah (isteri)
2. Umm (ibu)
3. Bint (anak perempuan)
4. Ukht (saudara perempuan)

1. Tanggungjawab sebagai isteri.
Tanggungjawab seorang isteri adalah melaksanakan tugas-tugasnya di hadapan mahupun di belakang suami. Hak suaminya ke atas dirinya adalah sangat besar. Lebih besar dari hak kedua ibu bapanya. Hak suami ke atas isteri datang selepas hak Allah jalla wa 'ala. Dalil baginya adalah maksud firman Allah ta'ala: "Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita)..." (surah an-nisa' #34)
Nabi Sollallahu 'Alaihi Wasallam juga bersabda yang bermaksud: "Tidak boleh manusia sujud kepada manusia.Dan jika dibenarkan manusia sujud kepada manusia, maka aku akan perintahkan wanita sujud kepada suaminya, kerana besarnya hak suami ke atas isteri"(Riwayat Ahmad di dlm Baqi Musnad al-Mukassirin #12203)

Wajib seorang isteri taat kepada suami dengan ketaatan mutlak, KECUALI maksiat kepada Allah. Nabi Sollallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Jika seorang wanita solat lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, akan dikatakan kepada wanita tersebut: Masuklah syurga dari mana-mana pintu yang engkau inginkan."(Riwayat Ahmad di dlm Musnad al-'Asyaroh al-Mubassyirin bil-Jannah #1664)

2. Tanggungjawab sebagai ibu.
Sebelum saya menyentuh tanggungjawab seorang ibu, suka sekali saya ingatkan kepada kalian pembaca dan diri saya sendiri tentang hak seorang ibu. Walaupun bonda saya (yarhamuhallah) telah kembali ke sisi Allah jalla wa 'ala, tiada salahnya saya mengingatkan kalian dan diri saya yang bergelar 'anak', tentang hak sorang wanita yang bergelar ibu. 
Sesungguhnya hak seorang ibu juga adalah sangat besar. Ianya juga datang selepas hak Allah 'azza wa jalla. Allah ta'ala berfirman yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang diantara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: 'Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidik aku di waktu kecilku" (surah al-Isra' #23,24)

Dalil di atas tergambar kepada kita seperti umum dalam mentaati kedua ibu bapa. Di sini saya akan bawakan dalil yang agak khusus kepada ibu. Maksud hadis: "Dari Abu Hurairah: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam dan bertanya kepada baginda: 'Siapakah manusia yang lebih berhak aku berbuat baik?' Nabi menjawab: 'Ibumu'. Lelaki itu berkata lagi: 'Kemudian siapa?' Nabi menjawab: 'Ibumu'. Lelaki itu berkata lagi: 'Kemudian siapa?' Nabi menjawab: 'Ibumu'. Lelaki itu berkata lagi: 'Kemudian siapa wahai Rasulullah?' Nabi menjawab: 'Bapamu'.." (Riwayat Bukhari #5971)

Biarpun dengan dalil-dalil di atas yang menunjukkan besarnya hak seorang ibu, akan tetapi seorang ibu juga tidak lari dari dipertanggungjawabkan oleh Islam ke atas anak-anaknya. Seorang ibu wajib menyantuni, melayani dan mendidik anak-anaknya dengan ihsan dan hikmah (bijaksana), seperti wajibnya anak-anak melayani seorang ibu dengan ihsan dan hikmah (bijaksana). Maksud bijaksana adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. 

Allah ta'ala berfirman yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang mana bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar, yang keras dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintahkan" (surah at-Tahrim #6)

Dalil di atas adalah umum bagi kedua ibu bapa. Manakala tanggungjawab seorang ibu secara khusus yang digariskan oleh Dr. Falah bin Muhammad as-Soghir adalah seperti berikut:         
  • Memilih bapa kepada anak-anaknya. Ini bermaksud seorang wanita yang ingin berkahwin, hendaklah memilih suami yang baik. Dr. Falah bin Muhammad as-Soghir juga menggariskan kriteria atau ciri-ciri yang harus diutamakan oleh seorang wanita yang ingin memilih suami. Pertama adalah dari segi agamanya, kedua dari segi akhlaknya dan ketiga dari segi akalnya.
  • Menjaga janinnya. Dalam erti kata lain mengambil berat akan janinnya semenjak tertanam benih ke dlm rahim, sehingga waktu melahirkan. Tidak kira dari segi makannya, minumnya atau kesihatannya.
  • Memelihara bayinya. Juga dalam erti kata lain, bertolong bantu dengan bapa kepada bayinya, dlm perkara seperti memperdengarkan kalimah tauhid di telinga kanan bayinya (azan), menamakan dengan nama yang baik dan mencukur kepalanya pada hari ketujuh kelahiran, melakukan 'aqiqah bagi bayi tersebut  dan juga perkara lainnya. Nabi bersabda: "Kanak-kanak itu 'digadai' dengan 'aqiqahnya, iaitu dengan menyembelih sembelihan baginya pada hari ketujuh kelahiran, dan diberi nama dan dicukur kepalanya"(Riwayat at-Tirmidzi #1522 dan Abu Daud #2837)

*Tulisan di atas mungkin cuma, sebahagian dari tanggungjawab seorang wanita. Dan insyaAllahu ta'ala, saya akan datangkan sambungan sebahagian lagi tanggungjawab seorang wanita yang bergelar Bint (anak perempuan) dan Ukht (saudara perempuan). Nantikan sambungannyaaaa.. ;-) *

Nasrullah Al-Qadahi, Sana'a, 19:00-03/01/11
Edited: 01:45-08/01/11

-Rujukan: Tafsir al-Quranul Karim, Sohih al-Bukhari, Musnad Ahmad, al-Mara'h al-Muslimah wa Masu'liyyatuha fi al-Waqi'e al-Ma'ashir-

Nasrullah Al-Qadahi

No comments:

Post a Comment